Kecergasan Fizikal
Menurut World Health Organization (WHO), untuk menjadi sihat dan cergas,
seseorang individu dikehendaki melakukan aktiviti sukan atau senaman selama dua puluh atau tiga puluh minit bagi
satu sesi dan melakukan tiga sesi dalam
masa satu minggu. Keadaan ini dirumuskan
bagi menjamin taraf kesihatan masyarakat dunia sihat dan cergas supaya manusia mempunyai kehidupan yang berkualiti.
Bersenam adalah intervensi yang berkesan
untuk mengurangkan berat badan dan berfaedah untuk menjaga jantung (cardio-protective), di samping
penjagaan pemakanan yang seimbang, tidak merokok dan tidak minum alkohol. Keadaan ini juga dapat membantu dalam
mencegah dari berlakunya Penyakit Kardiovaskular (Cardio Vascular Deases -CVD ),
yang merupakan penyumbang utama kepada
kematian bagi masyarakat Malaysia .
Kenyataan WHO ini turut disokong oleh
kerajaan Malaysia
dengan menggubal Dasar Sukan Negara (1988), dengan tujuan untuk pengekalan dan
peningkatan tahap kesihatan dan kesejahteraan anggota masyarakat (Sukan Massa). Sukan Massa adalah merujuk
kepada aktiviti sukan rekreasi fizikal dan sukan yang berlaku secara spontan. Manakala
Dasar Sukan Untuk Kecemerlangan adalah sukan pertandingan yang diuruskan
mengikut peraturan dan syarat-syarat Persekutuan Sukan Antarabangsa. Hasrat kerajaan Malaysia untuk melihat masyarakat
dan rakyatnya sihat dengan mengadakan program
peningkatan taraf serta nilai hidup seperti program kecergasan
fizikal atau program kesihatan samada dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan
Malaysia mahupun Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan melalui Jabatan atau
Pejabat Sukan Negeri atau daerah.
Kecergasan fizikal merupakan hasil
yang diperolehi daripada cara hidup yang aktif. Secara umumnya, kecergasan
fizikal boleh ditafsirkan sebagai keadaan tubuh sihat dan cergas, serta tidak
berasa cepat penat apabila melakukan kerja atau aktiviti. Menurut Corbin dan
Lindsey (1988), kecergasan fizikal boleh dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu
kecergasan berlandaskan kesihatan dan kecergasan berlandaskan perlakuan motor.
Kecergasan fizikal berlandaskan kesihatan
merangkumi komponen daya tahan kardiovaskular, daya tahan otot, kekuatan otot,
kelenturan dan komposisi badan. Manakala kecergasan berlandaskan perlakuan
motor meliputi ketangkasan, imbangan, kordinasi, kuasa, masa tindakbalas dan
kelajuan.
Menurut Franks dan Howley (1998),
individu yang cergas akan mempunyai tahap fungsi kardiorespiratori dan
kesedaran mental yang tinggi,
perhubungan sosial yang bermakna, tahap lemak yang rendah, kekuatan, kelenturan
dan kesihatan tulang belakang.
Bagi menyokong kajian Franks dan
Howley (1998), Grimssom (2005), menyatakan bahawa pelajar yang mempunyai
kecergasan fizikal yang baik memperolehi tahap pencapaian akademik yang lebih
tinggi berbanding dengan pelajar yang mempunyai tahap kecergasan yang rendah.
Meredith, Welks, (1999), bersependapat
dengan Franks dan Howley (1998),
Grimssom (2005), beliau menyatakan Program Fitnessgram
merupakan suatu penilaian secara menyeluruh terhadap kecergasan yang berkaitan
dengan kesihatan dan sistem laporan berkomputer yang digunakan oleh kebanyakan
guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan semasa kelas mereka. Penilaian dan
pendidikan kecergasan merupakan bahagian terpenting dalam program pendidikan
jasmani mereka. Program Fitnessgram
membolehkan para pelajar mempelajari proses untuk menjadi lebih cergas secara
fizikal berbanding dengan membuat rakaman dan membandingkan skor kecergasan
sahaja. Ia juga membolehkan para pelajar mempelajari kemahiran dan pengetahuan
untuk menjadi lebih cergas. Pelajar melakukan penilaian kendiri terhadap tahap
kecergasan mereka dan mencipta pelan kecergasan individu berdasarkan keputusan
penilaian tersebut. Mereka juga tahu bahawa melibatkan diri dalam aktiviti
fizikal yang menyeronokkan membolehkan mereka meningkatkan kecergasan fizikal.
Assalm boleh tahu senarai rujukan x?
ReplyDelete